Pages

Tuesday, September 4, 2012

Tidak kekok pikul tugas baharu

ne_01.1

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai agama, Samsiah Awang mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang menerajui jabatan agama apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sejak 26 Ogos lalu……

Bernama melaporkan, Samsiah, 54, ibu tunggal kepada sembilan anak dan memiliki sembilan cucu itu berazam untuk memberikan khidmat terbaik bagi membuktikan wanita juga berkemampuan memimpin jabatan yang menjadi tradisi diterajui lelaki.

"Saya berharap mendapat sokongan daripada semua kakitangan jabatan ini untuk sama-sama memastikan khidmat kita terus cemerlang demi memastikan kemaslahatan (kesejahteraan) umat Islam negeri ini terus terjaga.

"Saya juga bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan meminta petunjuk daripada Allah sekiranya terdapat masalah dan cabaran besar untuk bergerak seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang mahu Terengganu terus maju dengan syiar Islam," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Samsiah sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah JHEAT menggantikan Mohd. Rozali Saleh yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Katanya, walaupun ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas, beliau yakin mampu menyumbang khidmat cemerlang menerusi semangat kerja berpasukan.

Pengalaman luas Samsiah dalam bidang keagamaan bermula sejak kecil dan hasrat beliau kini ialah meneruskan impian ibu bapanya dalam menegakkan syair Islam di Terengganu.

"Arwah ayah saya, Datuk Awang Ismail adalah bekas Imam Masjid Negeri dan guru agama kepada Almarhum Sultan Mahmud, ayahanda kepada Sultan Terengganu sekarang, iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya.

Arwah suaminya, Rozali Awang pula bekas ketua penolong pengarah di JHEAT yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Kosmo! di rumahnya di sini semalam, Samsiah berkata, beliau sama sekali tidak menyangka akan diberi tugas baharu itu walaupun selepas 30 tahun berkhidmat dengan JHEAT.

"Secara ikhlas, saya tidak pernah sangka akan memikul tugas Pengarah JHEAT. Insya-Allah saya tidak kekok dalam menjalankan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha memenuhi amanah dipertanggungjawabkan.

"Ia juga satu pengiktirafan kepada golongan wanita. Ini bukan tugas mudah dan penuh cabaran apatah lagi JHEAT mempunyai tujuh jabatan yang kesemuanya diterajui lelaki," katanya.

Samsiah memberitahu, sepanjang tempoh bekerja di JHEAT, beliau tidak berdepan masalah dengan kakitangan malah mengenali mereka dengan rapat.

Beliau berharap lebih 500 kakitangan di tujuh bahagian dalam JHEAT dapat bersatu hati untuk meningkatkan prestasi jabatan itu.

Dalam pada itu, wanita yang berasal dari Kampung Tanjung, Kuala Terengganu ini memberitahu, beliau banyak mendapat inspirasi daripada bapanya.

"Arwah ayah banyak berpesan agar anak-anak sentiasa mempunyai sifat bersabar dan tidak sombong," ujarnya.

Sementara itu, anak beliau, Noor Fadhlina Ghazali, 25, mengaku terkejut apabila mendapat tahu ibunya menggalas tugas sebagai Pengarah JHEAT.

"Bagaimanapun, bila difikir balik, ibu mampu memikul tugas itu kerana beliau mempunyai pengalaman luas di jabatan tersebut

Sumber : kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...