Pages

Friday, September 21, 2012

Ibu dera anak

Kes Dera


PADA satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, penulis telah menyertai perbincangan secara tidak rasmi mengenai sikap ibu yang sanggup mendera anak sendiri......

Dalam perbualan dengan tetamu yang lain, penulis dibawa kepada satu sudut psikologi, di mana wujud apa yang dipanggil sebagai sikap ibu yang 'negatif'.
Aspek psikologi ini merujuk pada satu situasi di mana jika ada anak yang didera dalam keluarga, anak itu adalah anak yang mahu bebas daripada pengaruh ibu.
Menurut Pensyarah Sains Kemanusiaan, Amin Iskandar, yang hadir pada majlis tersebut, anak yang mahu bebas daripada 'bayangan' ibu itu adalah individu yang sihat dan boleh berdikari tanpa kehadiran ibunya.
Penguasaan
Jelas beliau, ibu yang bersikap 'negatif' mahukan penguasaan berterusan ke atas anak.
"Ibu melihat anak membesar. Kemudian anak itu pergi belajar ke universiti, bersedia untuk dunia pekerjaan dan kemudian mahu mempunyai keluarganya sendiri.
"Ketika inilah ibu boleh menjadi marah dan cemburu kerana menganggap anak itu mahu meninggalkannya," katanya.
Anak itu akan didera secara emosi dan fizikal oleh ibunya, supaya ibu dapat mengekalkan penguasaan dan kehidupan anak itu.
Ramai anak yang mengalah kepada ibu dalam situasi sebegini dan terpaksa 'sentiasa' melaporkan keadaan diri 'semasa' kepada ibu mereka.
Dalam pandangan mata si ibu, anak ini akan tetap menjadi 'anak emak', kata Amin.
Pengalaman
"Didera dengan perkataan dan secara fizikal bukanlah sesuatu yang baru bagi saya. Ibu memukul saya semasa saya kecil tetapi abang-abang saya dikecualikan," cerita penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ismail itu.
Menurut Ismail, penderaan terhadap dirinya terus berlaku semasa beliau di sekolah rendah dan menengah.
"Dera berlanjutan walaupun saya dah nak kahwin, tetapi masa itu hanya dera secara mulut. Penderaan itu hanya berhenti bila ibu saya meninggal dunia," ceritanya dengan nada sedih.
Ismail kemudian sedar penderaan itu wujud kerana ibu mahu melepaskan rasa geram dan kecewa terhadap dirinya yang kelihatan seiiras wajah bapanya yang telah berkahwin lain.
Seorang lagi anak mangsa dera ibu adalah ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Lee.
Lee menceritakan pengalaman didera kepada penulis: "Saya didera ibu. Ia bermula ketika umur saya empat tahun dan hanya berhenti bila saya dapat melindungi diri sendiri, ketika berumur 16 tahun. Rupa-rupanya wajah dan kelakuan saya sama dengan bapanya yang telah meninggal dunia.
"Dia tidak boleh pandang atau cakap dengan saya disebabkan saya mengingatkannya terhadap datuk saya. Saya rasa ibu mendera saya untuk menunjukkan kuasanya dan sebagai membalas dendam terhadap datuk yang telah mungkin mendera ibu semasa kecil," tambah Lee.
Balas dendam
Menurut Amin, ibu mendera anak kerana mereka sendiri mungkin telah didera semasa usia kecil.
"Dari kecil lagi, minda mereka telah menggambarkan perasaan dendam dan benci. Kini setelah menjadi ibu, mereka melakukan kepada anak mereka dengan cara yang sama seperti mereka didera oleh ibu bapa masing-masing.
"Bila anak semakin dewasa dan mula mempunyai personaliti diri sendiri, ini mencetuskan kemarahan si ibu yang merasakan egonya terancam. Oleh itu ibu yang bermasalah akan cuba sabotaj perkembangan si anak dengan maksud membuatkan anak tunduk kepadanya," jelas beliau.
Menurut Amin lagi, dera bukan hanya untuk mendapatkan kawalan fizikal tetapi juga cubaan ibu mengawal pemikiran, emosi serta keupayaan membuat keputusan oleh anak.
"Seolah-olah ibu mahu mengawal agar anak tidak bebas dari cengkamannya. Ibu yang mendera mahukan anak itu bergantung sepenuhnya kepada dirinya, itulah cara bagaimana ibu guna kuasa dan pengawalan terhadap diri anak," katanya.
Kekerasan fizikal
Menurut Amin lagi, kadangkala ibu nampak kesilapan dirinya dalam anak sendiri.
Dera anak bukanlah hanya berkisar tentang kekerasan fizikal dan pengabaian, tetapi merangkumi juga penderaan emosi. Ini meninggalkan parut psikologi yang kekal dalam jiwa anak dan meninggalkan mereka terkapai-kapai mencari arah bagi perkembangan psikologi dan sosial yang sihat.
"Hakikatnya ini semua terbit daripada sikap cemburu ibu. Apa pun sebabnya, penderalah yang sebenarnya mempunyai masalah tetapi malangnya anak itu yang merana," tambah beliau.
Tambah Amin, masalah dera berlaku bila ibu tidak dapat menanggung stres yang digalas dan penderaan anak berlaku dalam semua kelompok masyarakat dan tidak mengenal sempadan sosial, ekonomi dan keturunan etnik - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...