Pages

Friday, September 21, 2012

Angkara sihir, pelanggan lari nampak kami berpakaian dalam

BISNES adalah kerjaya yang menguntungkan jika bijak mencari peluang kerana bagi mereka yang berminat dalam bidang ini pasti akan berjaya jika berusaha, tambahan pula dengan sokongan dan bantuan daripada pihak yang sedia menghulurkan pelbagai insentif seperti kursus dan kewangan.
Terdapat juga mereka yang berkongsi berniaga dengan rakan-rakan untuk mencari pengalaman atau mengembangkan lagi perniagaan. Tetapi ada juga kawan yang tidak senang hati melihat kawan lain berjaya lalu dibuat pelbagai cara untuk menghancurkan usaha kawan tersebut......
Inilah yang ingin dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah yang berlaku kepada sepasang suami-isteri akibat iri hati seorang kawan yang melihat perniagaan mereka berjaya.
Kita ikuti kisah ini untuk teladan bersama seperti mana dikirim oleh Aliff (bukan nama sebenar) untuk saya paparkan di ruangan ini.
Begini kisahnya:
"Saya telah berkahwin sejak 10 tahun lalu dan mempunyai dua orang anak berusia empat dan lapan tahun. Isteri tidak bekerja.
Kehidupan kami bahagia. Dua tahun yang lalu, saya dan isteri telah menjalankan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam dengan bantuan seorang kawan rapat.
"Kami berkongsi modal dan berkat kesabaran, perniagaan kami bertambah maju dari sehari ke sehari.
"Bagaimanapun keseronokan berniaga tidak sampai ke mana, sebab kami diuji dengan pelbagai kejadian pelik.
"Perniagaan yang kami majukan bersama semakin hari semakin merosot, tidak ada seorang pun yang singgah untuk membeli, malah kehadiran gerai kami seperti tidak dilihat pelanggan. Saya mula merasakan ada yang tidak kena.
"Akhirnya kami mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu demi menyelamatkan perniagaan yang merupakan 'periuk nasi' kami. Bukan percaya syirik tetapi isteri mencadangkan kami berjumpa ustaz untuk mendapatkan gambaran kenapa kejadian itu berlaku kepada kami.
"Saya juga perasan pada masa yang sama, saya dan isteri selalu bergaduh disebabkan perkara yang kecil. Malah kadang kala kami tidak boleh lihat wajah masing-masing.
"Sebelum ini, kami jarang bergaduh. Saya sedar perkara ini mungkin ada kaitan dengan bisnes kami yang semakin merosot.
"Pelik dan bagaikan tidak percaya apabila ustaz yang kami jumpa memaklumkan kepada kami memang kami terkena dengki orang. Orang itu iri hati dan cemburu melihat kejayaan perniagaan kami termasuk ingin meruntuhkan rumah tangga saya. Terkejut saya bukan kepalang mendengar khabar itu.
"Tapi saya percaya Allah akan mendengar masalah saya dan akan membantu. Kami terus berusaha untuk memulihkan perniagaan dengan bantuan seorang yang boleh dipercayai. Pada masa yang sama, saya dan isteri berusaha mengawal emosi kami agar pertengkaran yang berlaku tidak membawa mudarat dalam rumah tangga kami. 
"Pelbagai benda ganjil ditemui terselit di dalam bakul jualan kami, antaranya seluar dalam lelaki dan wanita. Tiap kali kami membuangnya akan bertambah lagi pakaian dalam tersebut sehinggakan ada yang mengatakan kami menggunakan pakaian tersebut sebagai 'pelaris' perniagaan.
"Saya dan isteri pening memikirkan siapa yang buat aniaya kami dan meletakkan seluar dalam tersebut. Sebulan dua saya dan isteri tidak tidur lena memikirkan apa yang kami alami sambil berdoa agar Tuhan akan menunjukkan kepada kami kebenaran.
"Saya percaya doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan Allah. Takdir ini adalah ujian getir untuk kami hadapi dengan penuh kesabaran. Tapi saya bagi tahu isteri, satu hari nanti masalah ini akan selesai tetapi kita jangan berhenti berdoa.
"Orang yang melakukan perbuatan syirik ini dikategorikan sebagai mengalami masalah mental. Mereka tidak senang melihat orang lain berjaya dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menjahanamkan kehidupan orang lain. 
"Dendam itu bagaikan api dalam sekam, membakar dalam senyap dan akhirnya memusnahkan  hidup mangsa.
"Biarpun hidup kami semakin perit, saya reda dengan apa yang kami lalui dan berharap akan ada penyelesaiannya dalam masa terdekat. Kami terpaksa menghentikan sementara perniagaan dan bekerja sambilan di gerai makan milik seorang kawan yang simpati dengan musibah yang kami lalui.
"Satu hari, saya dan isteri disapa oleh seorang wanita yang selalu bertanya khabar kami semasa berniaga di pasar malam dulu. Dia terkejut melihat kami berniaga di gerai tersebut dan bertanya kenapa. Saya menceritakan kepadanya musibah yang menimpa kami. 
"Jawapan wanita itu benar-benar mengejutkan saya dan isteri. Katanya ramai yang malu untuk membeli jualan kami di pasar malam kerana kami hanya memakai pakaian dalam sewaktu berniaga.
"Tercengang saya mendengar penjelasan itu kerana kami berpakaian lengkap. Masakan kami sanggup memakai seluar dalam sahaja untuk berniaga. Hanya orang yang hilang akal sahaja berkelakuan sebegitu. Anehnya, hanya kaum wanita sahaja yang nampak kami dalam keadaan begitu.
"Katanya lagi sewaktu berniaga, kami menjerit seperti tarzan, sedangkan hakikatnya kami tidak menjerit dan melompat seperti tarzan.
"Dengan berkat doa serta usaha dan tawakal, segala-galanya pulih seperti biasa. Tuhan itu Maha Kaya dan Mendengar kesusahan kami. Bagaikan tidak percaya orang yang membuat kerja jahat itu mengaku dan memohon maaf kepada kami suami isteri.
"Katanya, dia buat demikian kerana cemburukan kami. Saya tanya dia kenapa mengaku, tak malukah? Dengan rasa rendah diri, dia yang saya kenal sebagai Mamat (bukan nama sebenar) memberitahu dia menjadi malu apabila ramai yang melihatnya hanya berpakaian dalam walaupun dia sebenarnya memakai pakaian lengkap.
"Mamat beritahu saya ke mana sahaja dia pergi dan di mana dia berada, orang akan memandang sinis kepadanya sambil mencemuh. Apa yang dia sedih sekali semasa dihalau ketika hendak ke surau. Mungkin ini balasan untuk Mamat yang berbuat jahat kepada saya.
"Dia meminta maaf sambil menghulurkan tangan kepada saya. Walaupun saya marah kepadanya tetapi dalam matanya, saya nampak keikhlasannya untuk berubah. Saya maafkan dia dan kami berpelukan.
"Mamat menangis dan kesal dengan kerja jahat yang dirancangnya untuk memusnahkan kehidupan saya dan isteri. Kuasa Allah itu tidak siapa duga. Saya bersyukur kerana Mamat bukan sahaja mengaku perbuatannya tetapi kini menjadi rakan kongsi kami di pasar malam.
"Saya gembira kerana perniagaan saya terus maju dan rumah tangga kami kembali bahagia seperti dulu. Saya amat terharu kerana Mamat telah berubah dan kini menjadi sahabat saya. Kami seperti saudara dan saya berharap ia akan kekal sehingga ke penghujung usia kami." demikian cerita Aliff.
Kisah Aliff memang pelik tetapi ia realiti dalam hidup yang berlaku kepada orang yang Allah pilih untuk diuji.
Dalam hubungan ini, Aliff dan isterinya adalah insan terpilih yang dipilih oleh Allah untuk menerima ujian.
Alhamdulillah, kecekalan dan ketabahan pasangan suami isteri ini berakhir dengan bahagia apabila orang yang didakwa cuba menghancurkan hidup mereka mengaku perbuatannya dan memohon maaf.
Ia adalah ketentuan Allah kerana jarang kita dapati ada orang yang telah membuat kerja syirik kepada orang lain akan mengaku perbuatan jahatnya itu. Doa Aliff dimakbulkan Allah. Semoga perniagaan Aliff dan isteri akan dilimpahi berkat dan cemerlang. Mudah-mudahan ikatan keluarga yang terjalin antara Aliff dan Mamat selepas kejadian itu akan kekal.
Menutup catatan, pesanan saya, jika kita sentiasa ingatkan Allah di kala senang, nescaya Allah akan ingatkan kita semasa kita susah.
Salam
Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...