Pages

Tuesday, August 13, 2013

Baca doa solat tahajud bahasa Melayu selepas salam

APAKAH hukum membaca doa solat tahajud ketika duduk tahiyat akhir sebab saya tidak ingat doanya...

RUSMAN, Pahang
SOLAT tahajud atau solat malam adalah solat sunat yang paling afdal ketika semua orang nyenyak tidur. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-sebaik solat selepas solat fardu
ialah solat malam (tahajud).” Waktu afdal ialah pada waktu separuh akhir malam dan waktu sahur selepas terbangun daripada tidur. Solat tahajud biasa dilakukan dalam dua rakaat.
Dalam sujud terakhir dibaca doa daripada ayat al-Quran surah al-Isra’, ayat 80 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi; dan berikanlah kepadaku daripada sisi-Mu hujjah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”
Selepas selesai solat disunatkan memperbanyakkan bacaan doa dan istighfar. Antara doanya ialah doa yang bermaksud: “Ya, Allah! Bagi-Mu segala puji, Engkau yang mengurusi langit dan bumi serta seisinya. Bagi-Mu segala puji, Engkau Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta seisinya. Bagi-Mu segala puji, Engkau cahaya langit dan bumi serta seisinya. Bagi-Mu segala puji, Engkau benar, janji-Mu benar, (terutusnya) Muhammad adalah benar (dari-Mu), peristiwa hari kiamat adalah benar.
Ya Allah, kepada-Mu aku serah, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali (bertaubat), dengan pertolongan-Mu aku berdebat (kepada orang-orang kafir), kepada-Mu (dan dengan ajaran-Mu) aku menjatuhkan hukum. Oleh itu, ampunilah dosaku yang lalu dan yang akan datang. Engkaulah yang mendahulukan dan mengakhirkan, tiada Tuhan yang hak disembah kecuali Engkau. Maha suci Engkau, Tiada daya dan upaya kecuali dengan Allah yang maha Tinggi dan maha Agung.”
Doa berkenaan hendaklah dibaca dalam bahasa Arab sekiranya dibaca dalam tahiyyat akhir sebelum salam.
Sekiranya tidak dapat menguasai bahasa Arab lebih baik dibaca selepas salam dan diharuskan dalam bahasa Melayu.




1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...