Pages

Thursday, August 1, 2013

LAPAN ORANG DITUDUH SUBAHAT,ROGOL REMAJA 14 TAHUN

rogol beramai-ramaiTEMERLOH - Lapan lelaki termasuk empat remaja di bawah umur dituduh

di Mahkamah Sesyen Temerloh dan Mahkamah Majistret Maran semalam atas tuduhan bersubahat dan merogol seorang remaja berusia 14 tahun.
Di Temerloh, lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat dan merogol secara bergilir-gilir gadis berusia 14 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tanah lapang laluan masuk ke dalam ladang getah Bukit Kebuk, Maran di antara jam 2.50 pagi hingga 3.15 pagi, 22 Julai lalu.
Bagaimanapun, kesemua yang didakwa iaitu Muhammad Hafizzi Zulkarnain, 20, Mohd Amirul Farhan Mohamad Shahaimi, 19, Mohd Iqra Isman Kamsoha, 18, dan Muhammad Waliyuddin Ahmad Basri, 20 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan yang didakwa merogol remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, Mohd Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula dituduh bersubahat merogol mangsa bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan dan empat lagi rakan.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(1) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Hakim Habibah Mohamed Yusof mengarahkan kelima-lima tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Elyna Othman dan peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Mohd Amirul Farhan manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mohd Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan rogol terhadap mangsa bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan dan empat rakan juvana mereka pada hari dan tempat yang sama di antara jam 2.50 pagi hingga 3.10 pagi.
Sementara itu, Majistret  Mahkamah Majistret Maran, Muhammad Noor Firdaus Rosli mengarahkan tiga lagi tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Tertuduh, Seorang pelajar tingkatan lima dan dua lagi sebayanya yang tidak bersekolah masing-masing didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Tertuduh masing-masing didakwa atas kesalahan di lokasi sama namun pada masa berlainan kerana melakukannya secara bergilir-gilir.
Muhammad Noor menetapkan sebutan semula kes pada 28 Ogos depan untuk rundingan pra bicara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Md Ali.
Pada 23 Julai lalu, kesemua lapan suspek kes rogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Kebuk berjaya ditahan pihak polis dan ditahan reman sehingga 26 Julai untuk membantu siasatan.
Tiga daripada suspek berkenaan ditahan di tempat kejadian kira-kira jam 3 pagi itu sementara lima rakan suspek lain pada keesokan harinya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...