Sembilan kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi,
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang pemandu kenderaan nyaris tertimbus ketika cuba mengeluarkan keretanya, Honda City.
Mangsa M Logeswaran, 28, berkata ketika dia tiba di lokasi kejadian kira -kira jam 7.45 petang, keretanya hanya tertimbus 40 peratus, dan dia cuba mengeluarkan kenderaannya itu bagi mengelak kerosakan lebih teruk.
Dia yang juga seorang jurutera berkata, ketika dia hendak mengeluarkan keretanya yang baru dibeli dua bulan lalu itu, dia terdengar bunyi kuat dan nampak tanah runtuh di hadapannya dan sempat melarikan diri ke kawasan selamat.
“Saya nampak motosikal beberapa anggota polis yang sedang bertugas turut ditimbus tanah yang baru runtuh itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman memaklumkan kejadian berkenaan menyebabkan sembilan kereta tertimbus penuh dan satu daripadanya rosak dihempap pokok.
Tanah setinggi 25 meter itu runtuh dan membabitkan keluasan lebih 100 meter di sepanjang Jalan Ampang.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati kejadian tanah runtuh masih berlaku secara perlahan akibat hujan lebat hingga jam 10 malam tadi.
No comments:
Post a Comment