Pages

Tuesday, April 9, 2013

Kajian: Kurang tidur boleh gemuk

tidoBenarkah kekurangan tidur akan menyebabkan pertambahan berat badan?

Tidur kurang daripada lima jam pada waktu malam tanpa had kepada snek boleh membuatkan saiz pinggang kita bertambah. Ini penemuan penyelidik di Universiti Colorado di Boulder. Mereka mendapati peserta kajian mengalami pertambahan berat badan sebanyak satu kilogram apabila diletakkan dalam keadaan begini.
Sebenarnya ada banyak kajian terdahulu mengatakan perkara yang sama, tetapi bagaimana kaitan langsung antara kekurangan tidur dengan pertambahan berat badan masih tidak jelas.
Kajian terbaru yang disiarkan dalam Prosiding Akademi Sains Nasional menunjukkan apabila lebih lama kita berjaga, badan kita memerlukan lebih banyak tenaga, bagaimanapun pembakaran tenaga tidak dapat mengimbangi pengambilan kalori daripada makanan.
“Kekurangan tidur itu sendiri tidak menyebabkan masalah pertambahan berat badan. Namun apabila seseorang itu kurang tidur, dia akan terdorong untuk makan banyak, melebihi jumlah yang diperlukan,” kata Pengarah Makmal Kronobiologi dan Tidur UC-Boulder, Kenneth Wright yang mengetuai kajian berkenaan.
Inilah yang diperhatikan berlaku ke atas 16 peserta lelaki dan perempuan muda dan sihat ditempatkan selama dua minggu di Hospital Universiti Colorado yang mempunyai ‘suite tidur’.
Penggunaan tenaga peserta diukur melalui jumlah oksigen disedut dan karbon dioksida yang dikeluarkan ketika bernafas. Tiga hari pertama peserta diberi peluang tidur selama sembilan jam pada waktu malam dan pengambilan makanan mereka dikawal untuk mengekalkan berat badan. Selepas tiga hari, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan.
Selama lima hari peserta kumpulan pertama hanya diberikan masa lima jam untuk tidur malam sementara kumpulan kedua masih meneruskan tidur malam selama sembilan jam.
Selepas lima hari, kumpulan ini bertukar kedudukan. Kedua-dua kumpulan diberikan banyak makanan dan boleh menikmati pelbagai snek termasuk ais krim, kerepek kentang, buah-buahan dan yogurt.
Secara purata, mereka yang tidur lima jam pada waktu malam membakar lebih lima peratus tenaga berbanding mereka yang tidur selama sembilan jam. Bagaimanapun, mereka yang kurang tidur ini makan lebih banyak dengan pengambilan lebih enam peratus kalori.
Kumpulan yang kurang rehat (tidur) makan sedikit ketika sarapan, tetapi tidak berhenti mengunyah khususnya snek selepas waktu makan malam, kata penyelidik.
Jika dihimpun jumlah kalori daripada makan lewat malam ini, ia melebihi satu hidangan lengkap. Ketua penyelidik juga mendapati lelaki dan wanita menunjukkan tindak balas berbeza terhadap akses tanpa had kepada makanan.
Walaupun kedua-duanya mengalami pertambahan berat badan (bagi yang tidur lima jam sehari), berat badan lelaki bertambah walaupun mereka cukup rehat dan tidur, tidak kira berapa banyak pun mereka makan.
Dalam kajian lain mendapati kekurangan tidur walaupun hanya untuk seminggu boleh memberi kesan negatif ke atas gen kita. Malah ia juga didapati ada kaitan dengan masalah jantung dan obesiti.
Menurut Pengarah Klinikal Institut Masalah Tidur dan Bangun di Pusat Perubatan Universiti Hackensack di New Jersey, Dr Susan Zafarlotfi, hutang tidur (kekurangan tidur) tidak ubah seperti hutang kad kredit. Semakin lama hutang kad kredit bertimbun, kita perlu membayar faedah yang tinggi atau akaun anda dibekukan sehinggalah semua hutang dibayar. Jika terlalu banyak hutang tidur, badan akan ‘rosak’.
Ini kerana kekurangan tidur akan menyebabkan metabolisme kita tidak berfungsi sebaiknya. Secara purata kita memerlukan kira-kira 7.5 jam tidur setiap malam. Bagaimanapun jika kita cukup tidur, bukanlah bermakna berat badan kita akan turun. Namun jika kurang tidur daripada lima jam kemudiannya ditambah kepada tujuh jam, berat badan kita akan mula berkurang.
Bagaimana kekurangan tidur boleh memberi kesan kepada keupayaan kita menurunkan berat badan sebenarnya bergantung kepada hormon malam iaitu ghrelin dan leptin. Ghrelin adalah hormon yang memberitahu bila perlu makan dan leptin pula adalah hormon yang memberitahu kita untuk berhenti makan. Jika kita kekurangan tidur, badan kita mempunyai lebih banyak hormon ghrelin dan kurang leptin.
Akibatnya kita akan makan banyak dan dalam keadaan kadar metabolisme yang lebih perlahan, tidak hairanlah jika kita mudah mengalami pertambahan berat badan.
Itu kalau kita berjaga malam dan tidak mempunyai aktiviti khusus untuk dilakukan kecuali menonton televisyen. Mengunyah sambil menonton memang mengasyikkan, membuatkan kita tidak sedar sudah terlebih makan. Namun jika kita berjaga malam untuk menunaikan ibadat, insya-Allah kita akan terhindar daripada godaan makanan.
Bagi mereka yang ada masalah tidur, ada beberapa panduan yang boleh diamalkan seperti memastikan kebersihan, hadkan pengambilan minuman dan makanan mengandungi kafein, contohnya selepas jam 2 petang serta mengelak terlalu banyak makan pada waktu malam kerana ia boleh menyebabkan kita sukar melelapkan mata.
Selain itu, jangan lupa bersenam kerana ia ubat paling murah dan berkesan untuk memperbaiki kualiti tidur kita.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...