Pages

Monday, September 17, 2012

Wan Junaidi: 'Yang signifikan, 31 Ogos atau 16 Sept?'

TIDAK dapat dinafikan ada banyak cara bagi kita mengukur penerimaan sambutan Hari Malaysia. Salah satu kaedah ialah meneliti mesej ucapan Hari Malaysia menerusi Twitter.Secara kasar bilangannya tidak cukup banyak berbanding kadar yang disaksikan pada malam 30 Ogos menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.
Hari ini, sambutan Hari Malaysia diadakan di Bintulu. Dua minggu lalu kita meraikan sambutan Hari Kemerdekaan. Cuti umum Hari Malaysia dirasai sejak 2010....


Di sebalik sambutan ini, ramai masih tertanya-tanya mengapa perlu ada dua hari yang berbeza - 31 Ogos dan 16 September.

Persoalan mengenai semakin dirasai sejak kebelakangan ini. Justeru, mengapa ia signifikan?

Apabila diajurkan soalan ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada "pandangan mereka, Sarawak hanya merdeka pada 16 September."

"Saya menggunakan perkataan 'pada pandangan mereka'... anda mesti berhati-hati apabila saya mengatakan pada pandangan mereka," kata beliau dengan menegaskan penjelasannya ketika ditemui Sinar Harian Online di KLIA, Sepang baru-baru ini.

Memenuhi permintaan untuk diadakan satu wawancara ringkas ketika transit dari Kuching ke luar negara, Wan Junaidi, salah seorang anggota kanan di Dewan Rakyat menjelaskan detik-detik sejarah yang membawa kepada pembentukan Hari Malaysia lebih empat dekad lalu.

Wan Junaidi dengan merujuk kepada nota di telefonnya menarik perhatian bahawa untuk mengetahui sama ada signifikan atau tidak 31 Ogos dan 16 September, "kita kena melihat pada sejarah yang membawa kepada pembentukan Hari Malaysia."

"Tetapi kalau kita melihat dari segi sejarah, persoalan mengenai signifikan, apa signifikan... 16 September berbanding 31 Ogos," kata beliau.

Katanya, "saya masih ingat apabila Tunku (Abdul Rahman Putra Al-Haj) mempelopori idea untuk menubuhkan persekutuan."

Idea itu dipelopori pada 27 Mei 1961. Idea itu digerakkan untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang lebih besar dan kukuh bagi memerangi penularan fahaman komunisme dan melahirkan satu suasana yang kukuh dari ekonomi.

"Ketika fahaman komunisme meresapi masyarakat Singapura... ia juga dikhuatiri akan bertapak di Sarawak," katanya sambil berkata bahawa Tuanku Abdul Rahman mahu menyatukan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu - menjadi gagasan yang lebih besar.

"Tuanku tidak membuang masa... beliau mengadakan perbincangan dengan Persatuan Parlimen Komanwel," katanya lagi sambil menambah, badan itu memperlihatkan persetujuan kepada idea penyatuan dengan sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak turut bersetuju.
"Tapi ada juga segelintir yang tidak bersetuju," akui beliau.

Pada 18 Oktober 1961 Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan usul memberi mandat kepada Tunku meneruskan usaha mengadakan perundingan pembentukan Persekutuan Malaysia setelah dibahaskan selama tiga hari.

Ia disusuli dengan pungutan suara kendalian Suruhanjaya Cobbold, yang ditubuhkan pada 17 Januari 1962. Suruhanjaya ini telah menyerahkan laporannya kepada Kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Jun 1962.

Konsensus telah dicapai oleh Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri Britain ketika itu di London. Perundingan berjalan kira-kira dua minggu.

Pada Julai 1963 perjanjian penting ditandatangani di Pejabat Hubungan Komanwel di Malborough House, London. Ia membawa kepada perlindungan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak menerusi 20 perkara.

Wakil dari kerajaan Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah menandatangani perjanjian pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Persetujuan telah dicapai untuk membentuk Persekutuan Malaysia pad 31 Ogos tahun berkenaan.

Bagaimanapun pembentukan Malaysia yang dirancang telah ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Agung PBB, U-Thant hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Oleh itu, Malaysia hanya lahir pada 16 September.

Pada 18 Ogos 1963, House of Commons menerima perjanjian manakala Parlimen Persekutuan Tanah Melayu pula menerima Akta Malaysia.
"Kedua-duanya berlaku pada hari yang sama," kata beliau.

Jelas beliau, penerimaan Akta Malaysia itu menunjukkan bahawa Persekutuan Malaysia boleh ditentukan pada mana-mana satu tarikh antara 18 dan 31 Ogos 1963.

"Bagaimanapun ia mengalami perubahan. Pindaan dibuat," kata beliau sambil melihat sekali lagi pada catatan beliau yang menggariskan tarikh-tarikh bersejarah.

Mengulas lanjut, katanya, tarikh itu berubah kepada 16 September ekoran bantahan daripada negara-negara jiran dan laporan  U-Thant lewat siap.

"Dulu tidak macam sekarang. Sebab itu, U-Thant terpaksa mengambil masa untuk membentangkan laporan di PBB dan menetapkan tarikh," kata beliau sambil menjelaskan, jika tidak hari pembentukan adalah antara 18 dan 31 Ogos.

Sebagaimana disebutkan oleh maklumat yang diperoleh dari Arkib Negara, tarikhnya ialah 31 Ogos.

"Tunku seorang yang bertolak ansur. Disebabkan bantahan ini (daripada Filipina dan Indonesia), beliau menjemput PBB datang dan bertemu dengan rakyat Sabah dan Sarawak dalam menentukan tarikh pembentukan," kata Wan Junaidi dengan nada terkilan atas campur tangan asing dalam menentukan detik tersebut.

Kemungkinan jika tidak perubahan ekoran bantahan, apakah kita mempunyai tarikh Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan yang sama? Ya, ada kemungkinan.

Mengulas lagi, katanya, "siapa orang luar perlu menentukan tarikh kelahiran Hari Malaysia."



Wan Junaidi memberi anologi "apakah kita perlu tanya jiran bila saya perlu kahwin, mengadakan majlis perkahwinan. Adakah kita perlu tanya jiran, sama ada bila perlu mendapatkan anak agar mereka tidak terasa terganggu?"

"Pada pandangan saya, saya tidak bimbang sangat... kita sudah berpuluh-puluh tahun kita menyambut sama, baru lima enam tahun kita bergaduh pasal tarikh sambutan," kata bekas anggota Field Force. Katanya, beliau pernah berada di hutan selama empat tahun, dari 1968.

Penjelasan beliau menunjukkan kita terpaksa memberi pertimbangan unsur politik dan bukan politik.

Kemungkinan satu hari nanti kita akan memilih tarikh yang sama untuk menyambut Hari Kebangsaan.

"Mungkin satu hari nanti, kita akan bersikap rasional, kita boleh pada pilih satu hari yang sama," katanya.

Beliau memberi gambaran Hari Kebangsaan Amerika Syarikat masih satu meskipun banyak wilayah dan negeri menyertai kemudian termasuk Alaska sendiri.

"Saya tidak terpengaruh dengan emosi. Ya, kadangkala kita terpaksa ikut kemahuan politik... mungkin apa yang saya katakan ini, mungkin tidak disukai sesetengah pihak," kata beliau yang berkongsi poin bahawa beliau yang mengutarakan soal mengibar bendera secara meluas merangkumi penyertaan rakyat. "Ini saya bawa di Parlimen pada 1992," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, "pada saya orang lain tidak harus menjadi penghalang dalam menentukan tarikh kita, bila kita harus bersatu (membentuk Hari Malaysia)."

Wan Junaidi dengan penuh harapan berkata, yang pentingnya bukan tarikh tetapi semangat patriotisme.

"Saya pernah melihat di Indonesia, rakyatnya di kawasan luar bandar, yang tidak ada duit, menggunakan kain lama untuk dijadikan bendera, mereka buat sendiri... ini satu contoh," katanya yang berpendapat ia kemungkinan disebabkam perbezaan cara mendapatkan kemerdekaan - jalan damai tanpa pertumpahan darah.
Sumber : Sinar

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...