Pages

Thursday, September 13, 2012

Diugut dengan 'wang orang mati'

je_01.1

PUTRAJAYA 12 Sept. - Timbalan Menteri, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong hari ini membuat laporan polis mendakwa diugut dengan empat keping 'wang kertas orang mati' bernilai '32 bilion' bersama keratan akhbar berbahasa Cina…..

Beliau yang juga Ketua Biro Profesional Muda MCA berkata, keratan akhbar itu berkaitan cabaran berdebat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penyelesaian hutang membabitkan Syarikat Talam Corporation Bhd. (Talam).

"Saya percaya wang kertas orang mati adalah satu cara ugutan atau amaran kepada saya supaya tidak meneruskan niat untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor berhubung isu Talam.

"Malah, saya turut dimaklumkan oleh pihak penganjur banyak kain rentang yang dipasang untuk mengajak orang ramai menyaksikan debat itu digunting dan disimbah dengan cat merah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berhubung penerimaan sampul surat berisi empat keping wang orang mati setiap satu bernilai 'lapan bilion' dan keratan akhbar berbahasa Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini.

Surat itu dialamatkan kepada Tee Yong, menerusi Ibu Pejabat MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 4 petang semalam.

Menurut Tee Yong, beliau hanya membuka sampul surat itu setelah berada di rumahnya di Jalan Cempaka Hutan, Taman Sierramas, Sungai Buloh, kira-kira pada pukul 9 malam.

"Apabila sampul surat berkenaan dibuka saya terkejut kerana mendapati ia mengandungi satu keratan akhbar berbahasa Cina dan empat keping wang kertas (setiap satu bernilai lapan bilion) yang biasanya dibakar ketika orang Cina mati.

"Saya percaya surat berkenaan dikirimkan oleh individu tidak dikenali semata-mata untuk memberi amaran dan ugutan kepada saya supaya tidak terus berdebat dengan Menteri Besar Selangor (malam ini) berhubung isu Talam," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak gentar dengan ugutan tersebut malah bersedia meneruskan hasrat berdebat dengan Abdul Khalid berhubung isu itu.

Sumber :  Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...