Pages

Saturday, July 20, 2013

Majlis Fatwa Kebangsaan HARAMKAN SHISHA

125709-omar-master-of-shisha-dahab-egyptKUALA LUMPUR – Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan shisha adalah haram bagi umat Islam

Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.

Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan hari ini.

“Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha…maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram,” katanya.

Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.

Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita.

“Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah,” kata Abdul Shukor.

Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak.

“Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

“Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam,” katanya.

Menurutnya, perbuatan yang dilakukan golongan itu telah melampaui batas kesabaran umat Islam.

“Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan kadar segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang selain menjadi pengajaran buat semua.

Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf sudah menjadi mainan pihak-pihak berkaitan, dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.

Justeru, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu menggesa umat Islam supaya bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak-pihak yang biadap itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat Islam di negara ini.

Sumbe

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...