Pages

Thursday, June 6, 2013

Abang, Tunggu Mak Di Syurga…

991cffcae78cd166e35bb32dcc06bac9_viewMak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang…

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yg tersarung pada tubuh abang, baju terakhir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah gendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah & mak mandikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah & mak yang menjiruskan air buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca², setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat² abah sapu dgn lengan sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terakhir," begitulah kata mak pada abah. Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. Biar tangan kami saja yg memakai & membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. Tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak² mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat² abah menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dlm liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi² mak terima ucapan takziah daripada tetamu yg datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yg mereka tanyakan pd mak.
Soalan itu asyik terngiang² di telinga mak.
Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tp setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dlmnya tercatat peristiwa yg berlaku sepanjang 4 tahun 2 bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yg tercatat di dalamnya.
Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pd catatan peristiwa lebih kurang 3 bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yg mak cari².
Jawapan untuk soalan yg mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut abang semakin membusung krn hati membengkak. Kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan utk abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. 2 hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sgt melihat lori sampah yg lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah.
Puas mak & abah melilau sekitar KL, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yg sanggup buat kek macam yg abang minta.
Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dgn perut membusung, dada berombak krn sukar bernafas, abang masih tersenyum & nampak ceria melayan rakan² yg datang, sama² menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yg terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring & asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yg boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan. Mak redha. Dlm hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pd mak, macam mana dgn abang?
Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak terpaksa cakap begitu pd mereka, sebab mak tak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka pun sama, masing² bertarung dgn ujian apabila anak yg dikasihi ditimpa penyakit. Jadi biarlah jawapan yg mak beri itu kedengaran manis pd telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.
13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor utk bawa abang pulang ke rumah. Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu² terakhir bersama keluarga. Dan di saat² akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa hari ni?"
Mak masih ingat pd suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dlm trak bomba. Pegawai itu garu² kepala, kemudiannya menggeleng²kan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya & hanya menanti masa utk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yg buncit & dada dipenuhi kesan parut & jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.
Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sgt biarpun cuma 15 minit abang di dlm trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka 5 saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yg mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata² mak. Kemudian, mak angkat baju abang & beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yg memalingkan muka, tak sanggup lihat abang lama². Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yg sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak & abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yg ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak pergi, semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam² abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak & macam² lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu abang pinta pd pukul 3 pagi!
Apa saja yg teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak & abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi utk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dgn tubuh abang yg sudah tidak bernafas!"
Itu kata² mak pd abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia & redha jika apa² berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas utk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yg sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu utk benarkan kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak²nya berada di sampingnya pd saat terakhir!"
Itu kata² mak pd cikgu & akak diizinkan pulang pd hari ini. Kemudian, Dr. Adura, doktor yg sinonim merawat abang datang melawat.
Mak memang rajin bercerita dgn Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yg mak terkilan tak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise utk abang tengah hari ini.
Rupa²nya, tengah hari itu datang tetamu yg juga rakan² alam maya Dr. Adura membawa kek lori yg abang mahukan sebelum ini.
Ada 2 kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang & ramai yg mahu menyediakan kek yg abang pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat & doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun utk abang. Tp abang kurang ceria, wajah abang tampak letih & nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu dtg membawa kek berbentuk lori warna pink utk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tp hati mak dpt rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dgn abang di dlm bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yg semakin lesu & pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk & usap rambut abang. Mak menangis teresak² bagai anak kecil.
Dlm tangis itu, mak katakan pd abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi."
"Jgn tahan² abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dpt sempurnakan apa saja hajat yg abang pinta. Mak juga bangga krn Allah hadirkan abang dlm hidup mak walaupun seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dgn pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas²nya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pd abah agar bawa semua anak² datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap² menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak mlm tadi. Makan minum pun tak mahu. Pukul 8 pagi, abah & kakak sampai.
Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat² krn cuba menahan tangisnya.
Pukul 3 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan².
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang & kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pd bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? Nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pd abang sinar matahari yg kelihatan di celah² rintik hujan yg turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. Kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang & kemudian abang terlentuk semula pd bahu mak.
Tiba² jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah & kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dlm nada yg lemah: "Makkk..sakit perut..!"
Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan & amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak utk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"
Mak ucapkan kata² itu sambil merenung jauh ke dlm mata abang yg semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak² agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu² & mula meraung & menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dgn tangisan kamu!"
Mak marah mereka buat begitu pd abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih & berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.
Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang utk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.
Jururawat yg ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar & tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu org luar lihat. Mak tak mahu ada org menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!"
Dan perlahan² mata abang yg layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pd jari mak semakin lemah & akhirnya terlepas.
Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini.
Innalillah...
Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang:
"Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan & buat akikah utk abang.
Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang & menggembirakan abang setiap saat & waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan, kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, & kaya pengetahuan.
Mak telah beri segala²nya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik & mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.
Abang...biarpun kini hidup mak & abah terasa sunyi & kosong tanpa abang, mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat² terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...