Pages

Tuesday, May 14, 2013

Cinta lelaki motosikal besar


DI layar perak, kisah lelaki peminat motosikal digambarkan dalam dua sudut
, satu daripada perspektif negatif dan satu lagi penuh unsur negatif.
Paling melekat dalam fikiran peminat dunia hiburan apabila Awie muncul memacu Harley Davidson dalam filem popular, Sembilu. Saat itu dan sampai hari ini, lelaki bermotor Harley masih mengingatkan khalayak terhadap Awie.
Untuk khalayak hari ini pula, mungkin Adnan Sempit lakonan Shaheizy Sam pula segar menjadi jolokan penunggang kapcai. Jika ada yang masih ingat, Rosyam Noor juga antara penunggang motosikal yang berjaya dihidupkan dalam KL Menjerit 1 dan KL Menjerit 2. Tentunya watak Roy (Faizal Hussein) yang bermotor scrambler dalam Gila-Gila Remaja masih tiada tandingan.
Itu antara nilai sentimental yang mengaitkan lelaki dan motosikal yang pernah disaksikan. Akan datang, sebuah filem pertama arahan Helmi Yusof bakal menemui peminat filem dan peminat motosikal berkuasa besar berjudul Bikers Kental. Bukan sebuah filem aksi atau drama romantik, filem yang menghidangkan kisah pengembaraan sekumpulan lelaki bermotor besar berkonvoi dari Kuala Lumpur sampai ke Krabi, Thailand itu sebalik sebuah filem komedi.
Menariknya, selain pengaruh Awie yang sekali lagi dikembalikan sebagai hero bermotor besar, pelawak popular Zizan Razak dan aktor yang sedang meningkat, Zul Ariffin buat julung kali dipersembahkan sebagai 'bikers' yang kental semangat dalam filem itu.
Bercakap tentang watak, filem, permotoran dan wanita, Zizan dan Zul Ariffin ada sasaran tersendiri untuk filem yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 Mei nanti.
Himpun kisah cinta
Dalam filem Bikers Kental, Zizan membawakan watak Bidin Al-Zaifa yang digambarkan dekat dengan dirinya. Lebih membawakan karakter diri sendiri, Zizan menyifatkan ada persamaan antara mereka berdua terutamanya dalam minat terhadap dunia permotoran.
"Saya memang sukakan motor dari dulu, dari zaman sekolah. Bidin pula ialah seorang pekerja kedai motor namun dia seorang yang 'loser,' selalu diherdik dan direndah-rendahkan oleh kawan-kawan. Namun ada suatu perkara yang membuatkan hidupnya bertukar," jelas Zizan yang selesa bekerja di bawah arahan Helmi.
Buat Zizan, filem Bikers Kental memberi gambaran kepada khalayak tentang dunia geng motor besar. Dalam filem tersebut, mereka mengembara ke Krabi, Thailand untuk mengikuti Bike Weeks.
"Jujurnya, filem Bikers Kental merupakan sebuah filem yang saya gemari. Saya memang pernah mengidam untuk terlibat dengan cerita sebegini," kata Zizan yang juga terlibat dengan empat buah filem tahun ini.
Apabila ditanya tentang peranan yang lebih serius berbanding watak komedi yang sering dibawakan, Zizan mengaku dia melakukan sedikit kelainan dalam watak Bidin.
"Dalam filem Tokan kelak, khalayak akan melihat saya lebih serius. Saya teringin membawakan watak serius tetapi saya perlu ambil berat penerimaan ramai kerana mereka yang mahu tonton. Kalau saya mahu bawakan watak serius biarlah cerita itu ada turun naik emosi seperti Kuch Kuch Hota Hai. Awalnya gembira dan akhirnya sedih. Tidak mahulah terlampau serius daripada mula," jelasnya yang memuji tenaga kerja Thailand yang banyak membantu dirinya dalam penggambaran Bikers Kental.
Zizan menangis
Semenjak popular baik dalam membawa tugasan sebagai tukang lawak, pelakon mahupun hos, jejaka kelahiran Terengganu ini tidak pernah terlepas dengan cerita wanita di sekelilingnya. Nama-nama seperti Leez AF, Juliana Evans, Kaka dan terbaharu Emma Maembong menjadi bunga yang berkembang bersama nama Zizan.
Juara Maharaja Lawak ini menyatakan dia memang gemar berkawan. Pada petang temu ramah diadakan, nama Juliana Evans atau mesra dipanggil Ju tidak lekang daripada bibirnya.
"Kami tidak pernah berpasangan sampailah Ju ke Amerika Syarikat (AS). Saya memang mahu berkahwin pada umur 30 tahun dan kini adalah masa untuk saya fokus dengan kerja. Kalau saya berkenan nanti, saya terus pinang sahaja," ketawanya lagi namun tidak berselindung.
"Cinta pertama saya ialah waktu saya tingkatan empat dan kemudian diikuti dengan cinta kedua. Kedua-duanya meninggalkan saya. Lepas itu tidak ada sampailah saya jumpa Ju, saya menyukai dia tetapi tidak ada kata putus. Jujurnya, saya memang sedih, kecewa dan menangis waktu dia ke AS untuk menyambung pengajian. Berbulan juga saya ambil masa dan akhirnya saya alihkan kesedihan dengan menyibukkan diri," ceritanya lagi.

ZUL ARIFFIN dan Zizan (kanan) saling tidak sebulu dalam filem komedi terbaharu Bikers Kental arahan Helmi Yusof.

Diusik tentang gosip cinta dengan aktres Emma Maembong, Zizan mengakui mengenali Emma dua tahun lalu. Namun tiada perasaan istimewa yang lahir antara mereka setakat ini. Malah, dia turut hairan dengan gosip cinta yang tiba-tiba hadir membabitkan nama mereka berdua,
"Dulu saya tunggu dia tetapi sekarang tidak. Dia seperti mahu menetap di sana. Tetapi kalau ada jodoh, saya tidak boleh cakap apa. Ibu saya juga menyenanginya," katanya yang mengaku pernah menangis sewaktu Juliana 'meninggalkan' dirinya.
Seperti Zizan, Zul Ariffin, 29, tidak terlepas bermain gosip. Berlakon sejak tahun 2009 apabila diperkenalkan menerusi drama kepolisan terbitan Skop Production Sdn. Bhd., perlahan-lahan jejaka kelahiran Taiping, Perak itu mencari rentak.
"Beberapa tahun dahulu, saya sedikit segan untuk menghadiri acara hiburan, majlis anugerah atau festival filem. Saya fikir saya belum kukuh tapi bermula tahun 2013 ini, perasaan saya sedikit berlainan. Tahun ini, lembaran saya sedikit berbeza.
"Selama ini, saya berlakon drama. Habis penggambaran, tunggu drama ditayangkan di televisyen dan kemudian berlakon lagi untuk drama yang lain. Tapi berlakon filem beri pengalaman berbeza, bila hampir waktu tayangan begini, pelakon kena buat publisiti dan keluar bertemu khalayak. Sekarang, barulah saya rasa bahawa saya ini sebahagian daripada pelakon, maksud saya pelakon dalam industri perfileman," katanya sedikit berhati-hati.
Lali cinta Abby Abadi
Tidak seperti Zizan yang selesa berjenaka sambil berbual, nada pelakon drama bersiri Debunga Lalang itu berbunyi serius. Katanya, dia tidak merasa terpinggir jika tidak terlalu kerap menghiasi kaca televisyen asalkan permainannya boleh meresap ke jiwa penonton.
"Biarpun susah untuk saya mengukir rentak dalam karier, susah menambat hati dan kepercayaan penonton, sampai hari ini, sebenarnya saya okey. Orang tidak terlalu kenal gaya lakonan saya, itu sedikit mudah sebenarnya. Jika tidak, saya pasti semakin sukar untuk pelbagaikan karakter," katanya yang seboleh-boleh cuba mengelak membawa watak bapa seperti yang telah diingati dalam Anak Rintik dan Sayang Abah, dua tahun lepas.
Bercakap tentang Bikers Kental, Zul yang masih dalam nada merendah diri mempamerkan aura ceria. Katanya, filem yang memberikan nama Arbi kepada wataknya banyak nilai sentimental.
"Tentu sebab saya dapat berlakon dengan Awie. Dulu sesiapa sahaja yang nampak mat motor besar, lilit bandan ke muka, pakai kaca mata hitam, mesti orang kata, 'eh, macam Awie'. Sekarang, saya berlakon dengan Awie dan sama-sama jadi mat motor. Pernah satu ketika, semasa kami berhenti rehat, ada orang nampak kami dan kata, eh, macam Awie. Bila Awie buka kaca mata, memang betul Awie. Kelakar," katanya.
"Zizan pun nama besar, saya antara peminat lawak-lawak dia dan dalam filem ini, pertama kali saya berlakon dengan Zizan dan Awie. Kebetulan, Bikers Kental juga filem pertama arahan Helmi Yusof yang sebelum ini memang seorang pengarah sinematografi handalan. Saya juga pertama kali belajar naik motosikal kuasa besar sehingga sampai ke Krabi melalui filem ini. Banyak yang pertama dalam filem ini walaupun ini filem kedua saya selepas Evolusi KL Drift 2," katanya yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem, namun berlainan genre berjudul Penanggal, sekitar hujung tahun nanti.
Melihat Zul yang semakin larut dalam perbualan, kisahnya bersama Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai masuk menyisip. Tidak terusik sementelah Zul sendiri sedar perhubungan mereka bukan lagi rahsia, katanya, dia sudah terbiasa dengan kisah cinta. Mungkin sudah lali gara-gara pernah menganyam cinta bersama selebriti Abby Abadi satu ketika dahulu.
"Semua pihak tahu hubungan kami, yang tinggal sekarang, bagaimana saya hendak mengimbang kisah cinta itu agar khalayak sedar bahawa saya juga seorang pelakon yang serius," ujarnya.
Masih menanti beberapa projek filem yang belum diberikan hitam-putih, harapan Zul, dia mahu setidak-tidak Bikers Kental meninggalkan bekas positif ke atas kemunculannya di layar perak
Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...